Friday, November 27, 2009

HANG TUAH


HANG TUAH DALAM BUKU SEJARAH MELAYU
Di dalam buku Sejarah Melayu itu ada didapati be­berapa riwayat menerangkan sifat-sifat istimewa Hang Tuah dalam khidmat-nya menjulang mutu kebesaran dan kermulia­an negara dan rajanya. Sifat-sifat Hang Tuah sebagai seorang hulubalang yang gagah berani ada tersebut di­ dalam beberapa peperangan yang telah berlaku; sama ada angkatan Melaka menyerang sesebuah daerah asing, atau pun diserang oleh angkatan luar, maka Hang Tuah jarang ketinggalan daripada mengambil bahagian mengepalai" ang­katan perang Melaka.

Suatu di antara sifat-sifat istimewa Hang Tuah seperti yang tersebut didalam buku Sejarah Melayu itu, ialah sifat taat setianya kapada raja. Suatu perkara berkenaan

hal ini hendaklah difaham, iaitu taat setia yang se­demikian adalah mengikut kehendak yang bersesuai dengan keadaan corak pemerintahan pada zaman itu. Hang Tuah telah berkhidmat dengan tiga orang Raja Melaka, iaitu Sultan Mansur Shah, Sultan 'Alau'ddin Riayah Shah I dan Sultan Mahmud Shah. Sebagai suatu bukti menunjukkan sifat taat setia Hang Tuah menjunjung titah perintah rajanya, dapat dipastikan daripada peristiwa yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pernah Hang Tuah dihukum bunuh oleh rajanya; meski pun demikian taat setianya tidak juga berubah me­lainkan terus juga ia berkhidmat, berbuat kebaktian kepada rajanya itu.

Di dalam buku Sejarah Melayu tiada di dapati apa-­apa keterangan berkenaan dengan usul asal Hang Tuah, seumpama siapa ibu bapanya; di mana tempat lahirnya; bagaimana mulanya maka ia beroleh jawatan berkhidmat di istana raja dan sebagainya; tetapi nama anak-anaknya dan siapa isteri-isterinya ada tersebut di dalam kedua-dua buah naskah Raffles No. 18 dan naskah Abdullah atau naskah Shellabear itu. Tersebut juga di dalam kedua-dua buah naskah itu keterangan berkenaan dengan Hang Tuah meninggal dunia.

Pad a penghujung Bab XV, di dalam naskah Raffles No. 18 itu ada tersebut demikian: "Setelah itu, maka Sultan Mahmud Shah beristeri pula akan anak Laksamana, Tun Birah namanya, beranak seorang perempuan Raja Dewi namanya."

Di hujung Bab XVIII naskah Raffles No. ]8 itu pula, ada menerangkan peri Hang Tuah meninggal dunia, serta huraian ringkas tentang keluarganya; huraian itu demikian bunyinya: "Sebermula akan Laksamana Hang Tuah pun sudah mati. Maka menantunya Khoja Husain namanya, ialah dijadikan oleh Sultan Mahumd Shah Laksamana, kerana Laksamana Hang Tuah isterinya dua orang. Seorang kaum Seri Bija Diraja, Dato' Bongkok, beranak tiga orang; yang tua, perempuan di dudukkan dengan Khoja Husain; yang tengah, laki-laki Tun Bayajit namanya; yang bongsu,perempuan Tun Birah namanya diperisteri oleh Sultan Mahmud Shah, beranakkan Raja Dewi. Seorang lagi isteri Laksamana. kaum Bendahara Paduka Raja, ke­luarga pada Paduka Tuan, beranak dua: seorang laki-laki yang bergelar Guna, seorang perempuan duduk dengan Hang Nadim. Maka Khoja Husainlah jadi Laksamana menggantikan mentuanya. Maka Laksamana Khoja Husain beranak laki-Iaki bernama Tun 'Abdullah."

Keterangan yang lebih jelas berkenaan Hang Tuah meninggal dunia ada didapati di-dalam sebuah naskhah Sejarah Melayu yang dipunyai oleh Dato F. W. Douglas dan telah dipetik dan disisipkan ke dalam buku Sejarah Melayu naskhah Shellabear yang di-gunakan disekolah Melayu sekarang. Keterangan itu bagini bunyinya: "Sha­hadan akan Laksamana Hang Tuah pun kembali ke Rahmatullah Taala. Maka oleh Sultan Mahmud ditanam­kan di Tanjung Keling dengan sepenuh-penuh adat di­anugerah. Tiga hari baginda tiada nobal. Maka Khoja Hassan menggantikan mentuanya jadi Laksamana. Maka Laksamana Khoja Hassan beranak dengan anak Laksamana Hang Tuah seorang laki-Iaki Tun Abdul namanya. Wa'lIahu a'lamu bis'-sawab. wa ilaihi-marji'u wa'l-ma'ab."

Berkenaan dengan keluarga Hang Tuah seperti yang tersebut di dalam Sejarah Melayu naskah Shellabear ia­lah demikian: "Ada pun Laksamana Hang Tuah rahimul­lah itu beristeri dua orang, seorang saudara Seri Bija Diraja Dafo' Bongkok, beranak tiga orang; yang tua perem­puan, Tun Serah namanya, duduk dengan Khoja Hassan, dan yang tengah laki-laki, Tun Biajid namanya, yang bongsu perempuan. Tun Sabariah namanya, diperisteri oleh Sultan Mahmud, beranak seorang perempuan, Raja Dewi namanya. Seorang lagi isteri Laksamana Hang Tuah, keluarga Bendahara Paduka Raja, beranak dua orang: yang tua laki-laki, bergelar Sang Guna, yang muda perempuan, duduk dengan Hang Nadim. Dan Laksamana Khoja Hassan beranak dengan anak Laksamana Hang Tuah seorang laki-laki, Tun 'Abdul namanya."

Jika dibandingkan keterangan-keterangan diantara kedua-dua buah naskah Sejarah Melayu itu nescaya di­dapati ada bertelingkah tentang nama-nama orang, umpama­nya di dalam sebuah naskah nama seorang di antara menantu Hang Tuah di sebutkan Khoja Husain, tetapi di­dalam naskhah yang sebuah lagi Khoja Hassan pula nama­nya. Demikian juga anak perempuan Hang Tuah yang di­peristerikan oleh Sultan Mahmud; naskah Raffles menyebut Tun Birah namanya, tetapi di dalam naskah yang sa­buah lagi itu Tun Sabariah pula. Ada pun sebabnya maka bertelingkah itu haruslah juga oleh kecuaian orang yang menyalin daripada naskah yang terlebih tua itu. Dalam pada itu pun pada amnya keterangan berkenaan siapa-­siapa dia anak isteri Hang Tuah itu tidalah boleh dikatakan bertelingkah di antara kedua-dua buah naskah buku Sejarah Melayu tersebut.

HANG TUAH DALAM TUHFAT AL-NAFIS
Di dalam Tuhfat al-Nafis (Sejarah Melayu dan Bugis) karangan Raja 'Ali-al-Haji Riau (JMBRAS Vol. X Part II. Aug. 1932), tatkala meriwayatkan kisah Kerajaan Melayu Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, ada menyebut demikian:

Pada masa kerajaan Sultan Mansur Shah ini­lah mengutus ke Bugis kepada Raja Goa, dengan membawa beberapa bingkisan dan hadiah per­kiriman; maka dibalas oleh Raja Goa dengan se­orang anak raja-raja pada negeri kecil bernama Daeng Mempawah, iaitu akhirnya jadi Laksamana Hang Tuah. ialah mashhor dibdalam Melaka hulubalang yang perkasa, dan ialah yang mem­bunuh Hang Jebat yang menderhaka mengambil gundik raja dilawannya bermukah. Kemudian. mengamukIah ia di dalam istana, maka raja pun keluarlah dari dalam istananya.

Maka tiada sa-orang daripada menteri dan hulubalang raja itu menaiki Hang Jebat itu, hanya­lah Hang Tuah jua berani menaiki. Maka lalu di­bunuhnya Hang Jebat itu, dan berpanjanganlah hikayatnya di dalam siarah panjang-panjang. Shahadan baginda Sultan Mansur Shah inilah yang berangkat beristeri ketanah Jawa akan anak Ratu Majapahit, maka lalu di bawanya balik ke Melaka, dan Pulau Tujuh pun di berikan oleh Ratu Majapahit kapada menantunya Raja Melaka itu.

Keterangan ini bolehlah juga dijadikan sebagai suatu alasan tentang adanya seorang hulubalang bernama Hang Tuah pada zaman Melaka dalam pemerintahan Sultan Mansur Shah dahulu itu tetapi berkenaan dengan keterang­an mengatakan bahawa Hang Tuah asalnya seorang anak raja negeri kecil di tanah Bugis, dan nama asalnya Daeng Mempawah itu, sukarlah hendak diakui sah, istimewa jika dipandang pada segi zaman penciptaan buku Tuhfat al ­Nafis itu. Menurut keterangan Raja Ali al Haji di dalam pendahuluan katanya, bahawa ia mulai mengarang buku itu ialah pada tiga haribulan Sha'ban T.M. 1282 (T.M.1865), pada hal Hikayat Hang Tuah, menurut keterangan daftar buku-buku lama Melayu catitan Werndly, telah se­dia ada sebelum T.M. 1736. Demikian juga saperti yang telah dimakalum bahawa zaman terciptanya buku Sejarah Melayu atau Sulalatu 'I-Salatin yang ada mengandungi sedikit-sedikit riwayat Hang Tuah, ialah kira-kira lebih dua ratus tahun terdahulu daripada buku Tuhfat al-Nafis itu.

Tidaklah boleh dinafikan iaitu harus juga pengarang buku Tuhfat al-Nafis itu telah mendengar riwayat berkena­an gagah berani dan taat setia Hang Tuah itu daripada cerita-cerita mulut yang telah berkembang turun-temurun di kalangan masyarakat orang-orang Melayu. Dalam pada itu pula, menurut seperti yang difahamkan bahawa penga­rang Tuhfat al-Nafis itu ialah dari keturunan Raja Bugis, maka haruslah kerana itu telah menimbulkan sesuatu perasaan kapadanya hingga ia mengatakan bahawa darah Raja Bugis ada mengalir dalam tubuh Hang Tuah.

HANG TUAH DALAM HIKAYAT HANG TUAH
Di kalangan masyarakat sesuatu kaum yang ramai bilangan orang-orangnya masih buta huruf dan belum mengambil berat mencatitkan sesuatu riwayat atau per­istiwa yang berkaitan dengan sejarah, memanglah menjadi perkara biasa berlaku, iaitu apa-apa jua peristiwa atau hal yang sebenar terjadi pada sesuatu masa itu, dengan cepat sahaja berubah aliran ceritanya hingga seolah-­olah menjadi dongeng atau cerita khayal.

Perkara yang seperti ini berlaku ialah kerana sesuatu riwayat atau peristiwa yang terjadi dengan sebenarnya itu disampaikan dari mulut ke mulut dan dari seteng­gang ke setenggang hingga beberapa tenggang atau ke­turunan yang terkemudian. Maka disepanjang masa per­kembangan cerita itu terjadilah tokok tambah yang di­reka-reka menurut sedap orang yang menceritakannya sehingga sampailah kepada suatu zaman yang terkemudian manakala ada seseorang cerdik pandai di kalangan masyarakat itu berusaha menyusun cerita yang telah di­karang dan ditokok tambah turun-temurun itu menjadikan­nya sebuah hikayat.

Sebagaimana kebanyakan pengarang-pengarang kesu­sasteraan lama Melayu juga, tiada lah diketahul siapakah dia penyusun Hikayat Hang Tuah itu; hanya yang dapat diagak ialah zaman penciptaannya, iaitu nyatalah ter­kemudian daripada T.M. 1641, sesudah negeri Melaka di­rampas daripada tangan Feringgi oleh tindakan bersama angkatan-angkatan perang Belanda dan Johor dalam bulan January 1641, kerana Hikayat Hang Tuah itu berakhirkan riwayat ketewasan Feringgi di Melaka itu.

Suatu perkara lagi yang dapat diagak bahawa Hikayat Hang Tuah itu ialah asalnya daripada bahasa Melayu, dan sejati bentuk Melayunya, yakni bukan tersalin dari­pada sesuatu bahasa asing, umpamanya daripada kesu­sasteraan Hindu seperti hikayat-hikayat Seri Rama, Pan­dawa Jaya, Sang Boma dan sebagainya. Meski pun demikian, pada permulaan hikayat itu terdapat juga bentuk cerita yang menyerupai corak kesusasteraan Hindu, atau pun. mencontohi corak cerita-cerita Panji yang berasal daripada tanah Jawa itu, iaitu menyebutkan kisah seorang raja keinderaan turun ke dunia lalu beristerikan saorang puteri raja, dan daripada perkahwinan ini baginda beroleh seorang putera yang dinamakan Sang Purba; ke­mudian putera ini dirajakan oleh baginda di Bukit Sigun­tang.

Corak kesusasteraan Hindu ini ternyata dengan lebih jelas lagi dalam cerita yang salanjutnya iaitu tentang kisah Sang Purba terlihat seekor Jembu muntah, dan mun­tah lembu itu pula telah menjadi seorang kanak-kanak perempuan yang terlalu cantik parasnya; akhirnya tuan puteri itu dijadikan oleh Sang Purba permaisurinya. Maka dengan permaisuri itu Sang Purba beroleh empat orang putera, yang sulungnya bernama Sang Maniaka, yang tengahnya Sang Jaya Nantaka, yang alang Sang Saniaka dan yang bongsu Sang Satiaka namanya.

Menurut Hikayat Hang Tuah bahawa Sang Maniaka,. putera Sang Purba yang sulung itu telah merajai Bintan. Di situ baginda telah memilih beberapa orang yang berasal untuk memegang jawatan menjadi orang besar-besar negeri dan pegawai-pegawai kerajaan. Seorang di antara orang, besar-besar itu digelar baginda Bendahara Paduka Raja. Menurut jalan cerita hikayat itu pada masa Sang Maniaka berkerajaan di pulau Bintan itulah juga Hang Tuah lima bersahabat mulai diambil raja menjawat jawatan dalam istana.

Tatkala meriwayatkan kisah Sang Maniaka berkerajaan di pulau Bintan itu maka pengarang atau penyusun Hikayat Hang Tuah telah menyisipkan atau mengaitkan sedikit cerita Panji, iaitu tentang kisah Ratu Lasam menitahkan seorang menterinya yang bernama Pateh Kerma Wijaya pergi memperbaiki segala negeri-negeri yang dialahkan oleh Radin Inu Kuripan. Kemudian Pateh Kerma Wijaya keluar ­meninggalkan tanah Jawa lalu pergi ka Bintan kerana merajuk oleh pekerti Ratu Lasam mengambil anak perem­puannya dengan tidak memberi tahu kapadanya terlebih dahulu.

Cerita itu dilanjutkan pula dengan menyebutkan kisah Radin Inu Daha yang bernama Radin Wira Nantaja merantau ke segenap tanah Jawa. mencari saudara perem­puannya Radin Galoh Puspa Kencana nama timangan­nya Radin Puspa Nengrat. Akhirnya Radin Wira Nantaja belayar ke Bintan; ianya sangatlah dikasihi oleh Raja Bintan (Sang Maniaka) hingga diberi gelaran Ratu Melayu.

Pengarang atau penyusun Hikayat Hang Tuah itu meri­wayatkan bahawa pada masa Sang Maniaka hendak mem­buka negeri Melaka kononnya Radin Wira Nantaja atau Ratu Melayu itu ada lagi bersama-sama baginda di Bintan. dan ada juga bersama-sama dalam perburuan yang mener­bitkan suatu peristiwa luar biasa manakala.seekor pelanduk puteh menerajangkan anjing perburuan. hingga anjing itu terjun ke dalam sungai. Pada masa Radin Wira Nantaja di Bintan itu juga diriwayatkan kononnya datang Pateh Daha membawa surat daripada Ratu Daha memanggil Radin Wira Nantaja kembali. Di dalam surat itu. menga­takan bahawa Radin Galoh sudah bertemu dengan Radin Inu Kuripan di Galang (Gagelang).

KETIDAKMUNASABAHAN DARI SEGI SEJARAH
Jika dipandang pada segi sejarah terutama sekali tentang tingkatan-tingkatan zaman yang terkandung di­ dalam aliran jalan cerita Hikayat Hang Tuah itu. Maka bolehlah dikatakan tiada dapat diterima akal oleh me­nilik kepada terlalu lanjutnya hidup seseorang yang diriwayatkan itu; umpamanya Sang Maniaka yang dikatakan putera sulung kapada Sang Purba, iaitu putera seorang raja keinderaan itu. menurut jalan cerita Hikayat Hang Tuah, telah lahir di Bukit Siguntang, kemudiannya merajal pulau Bintan. Pada zaman baginda di pulau Bintan itu dikaitkan pula riwayat baginda dengan zaman Radin Inu Kuripan mencari Radin Galoh Daha saperti yang tersebut di dalam cerita-cerita Panji. Menurut pendapat ahli-ahli penyiasat kesusasteraan bahawa cerita Panji itu berlaku­nya pada zaman Kerajaan Kediri, iaitu beberapa lama ter­dahulu daripada zaman keagungan Kerajaan Majapahit (mulai daripada T.M. 1294).

Kemudian Sang Maniaka juga telah membuka dan merajai Melaka lalu berkahwin dengan puteri Ratu Majapahit, iaitu pada zaman Pateh Gajah Mada (kira-kira T.M. 1331­1364). Menurut jalan cerita Hikayat Hang Tuah, Sang Maniaka (yang disebutkan Raja Melaka sahaja) mash hidup lagi sehingga kezaman negeri Melaka hampir jatuh ke tangan Feringgi (kejatuhan Melaka itu pada T.M. 1511), iaitu setelah baginda mengangkat anakanda baginda yang bernama Puteri Gunung Ledang itu naik takhta Kerajaan Melaka. Akhirnya baginda keluar daripada istana melakukan diri sebagai seorang darwish.

Menurut aliran jalan cerita Hikayat Hang Tuah itu. Bendahara Paduka Raja dan Temenggung Seri Diraja yang telah dipilih oleh Sang Maniaka pada masa baginda mula naik takhta kerajaan di pulau Bintan itu, ada juga hidup di sepanjang zaman yang tersebut, demikianlah juga Hang Tuah.

Hampir kepada penghujung hikayat itu disebutkan bahawa ketiga-tiganya itu telah bermohon kapada Raja Melaka kerana hendak berkhalwat, yakni berbuat amal ibadat kapada Allah Taala; Bendahara dikatakan duduk di Tanjung Keling, Temenggung di Tanjung Tuan dan Laksamana (Hang Tuah) di Tanjung Jugra.

Riwayat Hang Tuah tidaklah pula berakhir di Tanjung Jugra saperti yang tersebut tadi, kerana pada penghujung Hikayat Hang Tuah itu ada menyebut demikian:

Maka akan Tun Tuah pun tiadalah tersebut lagi di dalam negeri itu, tetapi Tun Tuah tiada mati, kerana ia hulubalang besar, dan lagi ia men­jadi wali Allah. Maka sekarang ini khabarnya Tun Tuah itu ada di pucuk hulu Sungai Perak,dan ia duduk menjadi raja segala Batak dan orang hutan. Maka sekarang pun kadang-kadang ada bertemu dengan orang maka ditanya orang itu katanya: "Tuanku mahukah beristeri?"

Maka katanya: "Tiadalah hamba mahu ber­isteri lagi." Demikianlah peri Hikayat Hang Tuah itu adanya.

No comments:

Post a Comment