Salam

Friday, November 27, 2009

HANG TUAH


HANG TUAH DALAM BUKU SEJARAH MELAYU
Di dalam buku Sejarah Melayu itu ada didapati be­berapa riwayat menerangkan sifat-sifat istimewa Hang Tuah dalam khidmat-nya menjulang mutu kebesaran dan kermulia­an negara dan rajanya. Sifat-sifat Hang Tuah sebagai seorang hulubalang yang gagah berani ada tersebut di­ dalam beberapa peperangan yang telah berlaku; sama ada angkatan Melaka menyerang sesebuah daerah asing, atau pun diserang oleh angkatan luar, maka Hang Tuah jarang ketinggalan daripada mengambil bahagian mengepalai" ang­katan perang Melaka.

Suatu di antara sifat-sifat istimewa Hang Tuah seperti yang tersebut didalam buku Sejarah Melayu itu, ialah sifat taat setianya kapada raja. Suatu perkara berkenaan

hal ini hendaklah difaham, iaitu taat setia yang se­demikian adalah mengikut kehendak yang bersesuai dengan keadaan corak pemerintahan pada zaman itu. Hang Tuah telah berkhidmat dengan tiga orang Raja Melaka, iaitu Sultan Mansur Shah, Sultan 'Alau'ddin Riayah Shah I dan Sultan Mahmud Shah. Sebagai suatu bukti menunjukkan sifat taat setia Hang Tuah menjunjung titah perintah rajanya, dapat dipastikan daripada peristiwa yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pernah Hang Tuah dihukum bunuh oleh rajanya; meski pun demikian taat setianya tidak juga berubah me­lainkan terus juga ia berkhidmat, berbuat kebaktian kepada rajanya itu.

Di dalam buku Sejarah Melayu tiada di dapati apa-­apa keterangan berkenaan dengan usul asal Hang Tuah, seumpama siapa ibu bapanya; di mana tempat lahirnya; bagaimana mulanya maka ia beroleh jawatan berkhidmat di istana raja dan sebagainya; tetapi nama anak-anaknya dan siapa isteri-isterinya ada tersebut di dalam kedua-dua buah naskah Raffles No. 18 dan naskah Abdullah atau naskah Shellabear itu. Tersebut juga di dalam kedua-dua buah naskah itu keterangan berkenaan dengan Hang Tuah meninggal dunia.

Pad a penghujung Bab XV, di dalam naskah Raffles No. 18 itu ada tersebut demikian: "Setelah itu, maka Sultan Mahmud Shah beristeri pula akan anak Laksamana, Tun Birah namanya, beranak seorang perempuan Raja Dewi namanya."

Di hujung Bab XVIII naskah Raffles No. ]8 itu pula, ada menerangkan peri Hang Tuah meninggal dunia, serta huraian ringkas tentang keluarganya; huraian itu demikian bunyinya: "Sebermula akan Laksamana Hang Tuah pun sudah mati. Maka menantunya Khoja Husain namanya, ialah dijadikan oleh Sultan Mahumd Shah Laksamana, kerana Laksamana Hang Tuah isterinya dua orang. Seorang kaum Seri Bija Diraja, Dato' Bongkok, beranak tiga orang; yang tua, perempuan di dudukkan dengan Khoja Husain; yang tengah, laki-laki Tun Bayajit namanya; yang bongsu,perempuan Tun Birah namanya diperisteri oleh Sultan Mahmud Shah, beranakkan Raja Dewi. Seorang lagi isteri Laksamana. kaum Bendahara Paduka Raja, ke­luarga pada Paduka Tuan, beranak dua: seorang laki-laki yang bergelar Guna, seorang perempuan duduk dengan Hang Nadim. Maka Khoja Husainlah jadi Laksamana menggantikan mentuanya. Maka Laksamana Khoja Husain beranak laki-Iaki bernama Tun 'Abdullah."

Keterangan yang lebih jelas berkenaan Hang Tuah meninggal dunia ada didapati di-dalam sebuah naskhah Sejarah Melayu yang dipunyai oleh Dato F. W. Douglas dan telah dipetik dan disisipkan ke dalam buku Sejarah Melayu naskhah Shellabear yang di-gunakan disekolah Melayu sekarang. Keterangan itu bagini bunyinya: "Sha­hadan akan Laksamana Hang Tuah pun kembali ke Rahmatullah Taala. Maka oleh Sultan Mahmud ditanam­kan di Tanjung Keling dengan sepenuh-penuh adat di­anugerah. Tiga hari baginda tiada nobal. Maka Khoja Hassan menggantikan mentuanya jadi Laksamana. Maka Laksamana Khoja Hassan beranak dengan anak Laksamana Hang Tuah seorang laki-Iaki Tun Abdul namanya. Wa'lIahu a'lamu bis'-sawab. wa ilaihi-marji'u wa'l-ma'ab."

Berkenaan dengan keluarga Hang Tuah seperti yang tersebut di dalam Sejarah Melayu naskah Shellabear ia­lah demikian: "Ada pun Laksamana Hang Tuah rahimul­lah itu beristeri dua orang, seorang saudara Seri Bija Diraja Dafo' Bongkok, beranak tiga orang; yang tua perem­puan, Tun Serah namanya, duduk dengan Khoja Hassan, dan yang tengah laki-laki, Tun Biajid namanya, yang bongsu perempuan. Tun Sabariah namanya, diperisteri oleh Sultan Mahmud, beranak seorang perempuan, Raja Dewi namanya. Seorang lagi isteri Laksamana Hang Tuah, keluarga Bendahara Paduka Raja, beranak dua orang: yang tua laki-laki, bergelar Sang Guna, yang muda perempuan, duduk dengan Hang Nadim. Dan Laksamana Khoja Hassan beranak dengan anak Laksamana Hang Tuah seorang laki-laki, Tun 'Abdul namanya."

Jika dibandingkan keterangan-keterangan diantara kedua-dua buah naskah Sejarah Melayu itu nescaya di­dapati ada bertelingkah tentang nama-nama orang, umpama­nya di dalam sebuah naskah nama seorang di antara menantu Hang Tuah di sebutkan Khoja Husain, tetapi di­dalam naskhah yang sebuah lagi Khoja Hassan pula nama­nya. Demikian juga anak perempuan Hang Tuah yang di­peristerikan oleh Sultan Mahmud; naskah Raffles menyebut Tun Birah namanya, tetapi di dalam naskah yang sa­buah lagi itu Tun Sabariah pula. Ada pun sebabnya maka bertelingkah itu haruslah juga oleh kecuaian orang yang menyalin daripada naskah yang terlebih tua itu. Dalam pada itu pun pada amnya keterangan berkenaan siapa-­siapa dia anak isteri Hang Tuah itu tidalah boleh dikatakan bertelingkah di antara kedua-dua buah naskah buku Sejarah Melayu tersebut.

HANG TUAH DALAM TUHFAT AL-NAFIS
Di dalam Tuhfat al-Nafis (Sejarah Melayu dan Bugis) karangan Raja 'Ali-al-Haji Riau (JMBRAS Vol. X Part II. Aug. 1932), tatkala meriwayatkan kisah Kerajaan Melayu Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, ada menyebut demikian:

Pada masa kerajaan Sultan Mansur Shah ini­lah mengutus ke Bugis kepada Raja Goa, dengan membawa beberapa bingkisan dan hadiah per­kiriman; maka dibalas oleh Raja Goa dengan se­orang anak raja-raja pada negeri kecil bernama Daeng Mempawah, iaitu akhirnya jadi Laksamana Hang Tuah. ialah mashhor dibdalam Melaka hulubalang yang perkasa, dan ialah yang mem­bunuh Hang Jebat yang menderhaka mengambil gundik raja dilawannya bermukah. Kemudian. mengamukIah ia di dalam istana, maka raja pun keluarlah dari dalam istananya.

Maka tiada sa-orang daripada menteri dan hulubalang raja itu menaiki Hang Jebat itu, hanya­lah Hang Tuah jua berani menaiki. Maka lalu di­bunuhnya Hang Jebat itu, dan berpanjanganlah hikayatnya di dalam siarah panjang-panjang. Shahadan baginda Sultan Mansur Shah inilah yang berangkat beristeri ketanah Jawa akan anak Ratu Majapahit, maka lalu di bawanya balik ke Melaka, dan Pulau Tujuh pun di berikan oleh Ratu Majapahit kapada menantunya Raja Melaka itu.

Keterangan ini bolehlah juga dijadikan sebagai suatu alasan tentang adanya seorang hulubalang bernama Hang Tuah pada zaman Melaka dalam pemerintahan Sultan Mansur Shah dahulu itu tetapi berkenaan dengan keterang­an mengatakan bahawa Hang Tuah asalnya seorang anak raja negeri kecil di tanah Bugis, dan nama asalnya Daeng Mempawah itu, sukarlah hendak diakui sah, istimewa jika dipandang pada segi zaman penciptaan buku Tuhfat al ­Nafis itu. Menurut keterangan Raja Ali al Haji di dalam pendahuluan katanya, bahawa ia mulai mengarang buku itu ialah pada tiga haribulan Sha'ban T.M. 1282 (T.M.1865), pada hal Hikayat Hang Tuah, menurut keterangan daftar buku-buku lama Melayu catitan Werndly, telah se­dia ada sebelum T.M. 1736. Demikian juga saperti yang telah dimakalum bahawa zaman terciptanya buku Sejarah Melayu atau Sulalatu 'I-Salatin yang ada mengandungi sedikit-sedikit riwayat Hang Tuah, ialah kira-kira lebih dua ratus tahun terdahulu daripada buku Tuhfat al-Nafis itu.

Tidaklah boleh dinafikan iaitu harus juga pengarang buku Tuhfat al-Nafis itu telah mendengar riwayat berkena­an gagah berani dan taat setia Hang Tuah itu daripada cerita-cerita mulut yang telah berkembang turun-temurun di kalangan masyarakat orang-orang Melayu. Dalam pada itu pula, menurut seperti yang difahamkan bahawa penga­rang Tuhfat al-Nafis itu ialah dari keturunan Raja Bugis, maka haruslah kerana itu telah menimbulkan sesuatu perasaan kapadanya hingga ia mengatakan bahawa darah Raja Bugis ada mengalir dalam tubuh Hang Tuah.

HANG TUAH DALAM HIKAYAT HANG TUAH
Di kalangan masyarakat sesuatu kaum yang ramai bilangan orang-orangnya masih buta huruf dan belum mengambil berat mencatitkan sesuatu riwayat atau per­istiwa yang berkaitan dengan sejarah, memanglah menjadi perkara biasa berlaku, iaitu apa-apa jua peristiwa atau hal yang sebenar terjadi pada sesuatu masa itu, dengan cepat sahaja berubah aliran ceritanya hingga seolah-­olah menjadi dongeng atau cerita khayal.

Perkara yang seperti ini berlaku ialah kerana sesuatu riwayat atau peristiwa yang terjadi dengan sebenarnya itu disampaikan dari mulut ke mulut dan dari seteng­gang ke setenggang hingga beberapa tenggang atau ke­turunan yang terkemudian. Maka disepanjang masa per­kembangan cerita itu terjadilah tokok tambah yang di­reka-reka menurut sedap orang yang menceritakannya sehingga sampailah kepada suatu zaman yang terkemudian manakala ada seseorang cerdik pandai di kalangan masyarakat itu berusaha menyusun cerita yang telah di­karang dan ditokok tambah turun-temurun itu menjadikan­nya sebuah hikayat.

Sebagaimana kebanyakan pengarang-pengarang kesu­sasteraan lama Melayu juga, tiada lah diketahul siapakah dia penyusun Hikayat Hang Tuah itu; hanya yang dapat diagak ialah zaman penciptaannya, iaitu nyatalah ter­kemudian daripada T.M. 1641, sesudah negeri Melaka di­rampas daripada tangan Feringgi oleh tindakan bersama angkatan-angkatan perang Belanda dan Johor dalam bulan January 1641, kerana Hikayat Hang Tuah itu berakhirkan riwayat ketewasan Feringgi di Melaka itu.

Suatu perkara lagi yang dapat diagak bahawa Hikayat Hang Tuah itu ialah asalnya daripada bahasa Melayu, dan sejati bentuk Melayunya, yakni bukan tersalin dari­pada sesuatu bahasa asing, umpamanya daripada kesu­sasteraan Hindu seperti hikayat-hikayat Seri Rama, Pan­dawa Jaya, Sang Boma dan sebagainya. Meski pun demikian, pada permulaan hikayat itu terdapat juga bentuk cerita yang menyerupai corak kesusasteraan Hindu, atau pun. mencontohi corak cerita-cerita Panji yang berasal daripada tanah Jawa itu, iaitu menyebutkan kisah seorang raja keinderaan turun ke dunia lalu beristerikan saorang puteri raja, dan daripada perkahwinan ini baginda beroleh seorang putera yang dinamakan Sang Purba; ke­mudian putera ini dirajakan oleh baginda di Bukit Sigun­tang.

Corak kesusasteraan Hindu ini ternyata dengan lebih jelas lagi dalam cerita yang salanjutnya iaitu tentang kisah Sang Purba terlihat seekor Jembu muntah, dan mun­tah lembu itu pula telah menjadi seorang kanak-kanak perempuan yang terlalu cantik parasnya; akhirnya tuan puteri itu dijadikan oleh Sang Purba permaisurinya. Maka dengan permaisuri itu Sang Purba beroleh empat orang putera, yang sulungnya bernama Sang Maniaka, yang tengahnya Sang Jaya Nantaka, yang alang Sang Saniaka dan yang bongsu Sang Satiaka namanya.

Menurut Hikayat Hang Tuah bahawa Sang Maniaka,. putera Sang Purba yang sulung itu telah merajai Bintan. Di situ baginda telah memilih beberapa orang yang berasal untuk memegang jawatan menjadi orang besar-besar negeri dan pegawai-pegawai kerajaan. Seorang di antara orang, besar-besar itu digelar baginda Bendahara Paduka Raja. Menurut jalan cerita hikayat itu pada masa Sang Maniaka berkerajaan di pulau Bintan itulah juga Hang Tuah lima bersahabat mulai diambil raja menjawat jawatan dalam istana.

Tatkala meriwayatkan kisah Sang Maniaka berkerajaan di pulau Bintan itu maka pengarang atau penyusun Hikayat Hang Tuah telah menyisipkan atau mengaitkan sedikit cerita Panji, iaitu tentang kisah Ratu Lasam menitahkan seorang menterinya yang bernama Pateh Kerma Wijaya pergi memperbaiki segala negeri-negeri yang dialahkan oleh Radin Inu Kuripan. Kemudian Pateh Kerma Wijaya keluar ­meninggalkan tanah Jawa lalu pergi ka Bintan kerana merajuk oleh pekerti Ratu Lasam mengambil anak perem­puannya dengan tidak memberi tahu kapadanya terlebih dahulu.

Cerita itu dilanjutkan pula dengan menyebutkan kisah Radin Inu Daha yang bernama Radin Wira Nantaja merantau ke segenap tanah Jawa. mencari saudara perem­puannya Radin Galoh Puspa Kencana nama timangan­nya Radin Puspa Nengrat. Akhirnya Radin Wira Nantaja belayar ke Bintan; ianya sangatlah dikasihi oleh Raja Bintan (Sang Maniaka) hingga diberi gelaran Ratu Melayu.

Pengarang atau penyusun Hikayat Hang Tuah itu meri­wayatkan bahawa pada masa Sang Maniaka hendak mem­buka negeri Melaka kononnya Radin Wira Nantaja atau Ratu Melayu itu ada lagi bersama-sama baginda di Bintan. dan ada juga bersama-sama dalam perburuan yang mener­bitkan suatu peristiwa luar biasa manakala.seekor pelanduk puteh menerajangkan anjing perburuan. hingga anjing itu terjun ke dalam sungai. Pada masa Radin Wira Nantaja di Bintan itu juga diriwayatkan kononnya datang Pateh Daha membawa surat daripada Ratu Daha memanggil Radin Wira Nantaja kembali. Di dalam surat itu. menga­takan bahawa Radin Galoh sudah bertemu dengan Radin Inu Kuripan di Galang (Gagelang).

KETIDAKMUNASABAHAN DARI SEGI SEJARAH
Jika dipandang pada segi sejarah terutama sekali tentang tingkatan-tingkatan zaman yang terkandung di­ dalam aliran jalan cerita Hikayat Hang Tuah itu. Maka bolehlah dikatakan tiada dapat diterima akal oleh me­nilik kepada terlalu lanjutnya hidup seseorang yang diriwayatkan itu; umpamanya Sang Maniaka yang dikatakan putera sulung kapada Sang Purba, iaitu putera seorang raja keinderaan itu. menurut jalan cerita Hikayat Hang Tuah, telah lahir di Bukit Siguntang, kemudiannya merajal pulau Bintan. Pada zaman baginda di pulau Bintan itu dikaitkan pula riwayat baginda dengan zaman Radin Inu Kuripan mencari Radin Galoh Daha saperti yang tersebut di dalam cerita-cerita Panji. Menurut pendapat ahli-ahli penyiasat kesusasteraan bahawa cerita Panji itu berlaku­nya pada zaman Kerajaan Kediri, iaitu beberapa lama ter­dahulu daripada zaman keagungan Kerajaan Majapahit (mulai daripada T.M. 1294).

Kemudian Sang Maniaka juga telah membuka dan merajai Melaka lalu berkahwin dengan puteri Ratu Majapahit, iaitu pada zaman Pateh Gajah Mada (kira-kira T.M. 1331­1364). Menurut jalan cerita Hikayat Hang Tuah, Sang Maniaka (yang disebutkan Raja Melaka sahaja) mash hidup lagi sehingga kezaman negeri Melaka hampir jatuh ke tangan Feringgi (kejatuhan Melaka itu pada T.M. 1511), iaitu setelah baginda mengangkat anakanda baginda yang bernama Puteri Gunung Ledang itu naik takhta Kerajaan Melaka. Akhirnya baginda keluar daripada istana melakukan diri sebagai seorang darwish.

Menurut aliran jalan cerita Hikayat Hang Tuah itu. Bendahara Paduka Raja dan Temenggung Seri Diraja yang telah dipilih oleh Sang Maniaka pada masa baginda mula naik takhta kerajaan di pulau Bintan itu, ada juga hidup di sepanjang zaman yang tersebut, demikianlah juga Hang Tuah.

Hampir kepada penghujung hikayat itu disebutkan bahawa ketiga-tiganya itu telah bermohon kapada Raja Melaka kerana hendak berkhalwat, yakni berbuat amal ibadat kapada Allah Taala; Bendahara dikatakan duduk di Tanjung Keling, Temenggung di Tanjung Tuan dan Laksamana (Hang Tuah) di Tanjung Jugra.

Riwayat Hang Tuah tidaklah pula berakhir di Tanjung Jugra saperti yang tersebut tadi, kerana pada penghujung Hikayat Hang Tuah itu ada menyebut demikian:

Maka akan Tun Tuah pun tiadalah tersebut lagi di dalam negeri itu, tetapi Tun Tuah tiada mati, kerana ia hulubalang besar, dan lagi ia men­jadi wali Allah. Maka sekarang ini khabarnya Tun Tuah itu ada di pucuk hulu Sungai Perak,dan ia duduk menjadi raja segala Batak dan orang hutan. Maka sekarang pun kadang-kadang ada bertemu dengan orang maka ditanya orang itu katanya: "Tuanku mahukah beristeri?"

Maka katanya: "Tiadalah hamba mahu ber­isteri lagi." Demikianlah peri Hikayat Hang Tuah itu adanya.

AURAT WANITA

Walaupun ada pandangan mazhab lain mengatakan suara dan seluruh badan wanita adalah aurat, namun yang jelas mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita meletakkan bahawa suara wanita, muka, dan tangannya adalah bukan aurat. Dan yang jelas lagi, tidak ada dalil al-Quran serta al-hadis mengatakan bahawa suara dan muka wanita serta tangannya itu aurat sebagaimana sangkaan sesetengah pihak yang banyak melakukan ‘kekejaman’ terhadap kaum wanita sahingga melarang mereka daripada berkomunikasi dan bercakap dengan kaum lelaki dan sebagainya.

Apakah mereka sedar bahawa Allah s.w.t membenarkan para sahabat berkomunikasi dan bercakap–cakap dengan mereka (isteri Nabi) di sebalik tirai sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Bertanyalah kepada mereka dari belakang tabir.” (Al-Ahzab: 32)

Ini menunjukkan suara itu bukan dikira daripada aurat. Begitu juga Allah s.w.t melarang daripada mendedahkan auratnya (seluruh tubuh) selain daripada muka dan tangannya sahaja, sesuai dengan tafsiran Hibrul Ummah (Sahabat besar Rasulullah, Ibnu Abbas r.a) sendiri, itulah apa yang dimaksudkan dengan firman-Nya yang bermaksud: “… apa yang zahir daripadanya” (An-Nur: 31), iaitu muka dan tangan.

Dalam suatu hadis, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Apabila seorang gadis itu dewasa (sampai umur), maka tidak halal badannya terdedah selain muka dan tangannya sahaja.”

Hakikat ini menggambarkan sebagaimana apa yang berlaku terhadap Asma binti Abu Bakar apabila Asma datang berjumpa Nabi s.a.w dengan pakaian jarang dan nipis. Baginda berpaling daripadanya lalu bersabda yang bermaksud:

“Wahai Asma, seorang wanita apabila sudah baligh, tidak elok lagi badan (tubuhnya kelihatan) selain muka dan tangannya sahaja.” (Riwayat Abu Daud)

Demikian juga kaum wanita itu disuruh labuhkan (tutupkan) atas lubang tengkuknya sahaja bukan bermaksud tutup atas muka mereka.

Kata Syaikh Yusof al-Qardawi, pendapat Ibnu Abbas lebih kuat dan sah pada pandangan jumhur (kebanyakan) ulama, kerana katanya, banyak ayat dan hadis yang mengarahkan kaum lelaki daripada umat Islam menyekat atau menutup pandangan mata mereka, sama juga dengan kaum wanita di suruh merendahkan pandangan mata mereka. Sekiranya muka dan aurat wanita sudah tertutup kemas di depan mereka maka pastilah arahan tersebut menjadi sia-sia dan percuma tanpa sebarang makna dan tujuan.

Menurut pendapat Syeikh Atiyah Saqr, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Universiti Al-Azhar, Mesir dalam koleksi fatwanya Soal Jawab Wanita Islam, terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bahawa pada prinsipnya suara muka dan tangan wanita bukanlah termasuk aurat. Sekiranya perkara tersebut memang merupakan aurat, maka sukarlah bagi kaum wanita dan tentunya taklif atau beban syariat yang dikenakan kepada mereka bersifat usr iaitu sangat sukar dan ini bercanggah dengan prinsip agama Islam bahawa Ad-Dinu Yusr, iaitu agama itu mudah, sedangkan kaum wanita juga merupakan ‘makhluk sosial’ yang berhajat untuk berkomunikasi dengan sesama insan baik ia dari kaum lelaki ataupun kaum perempuan dalam proses kehidupan sosialnya, sedangkan aurat wanita sebenar terletak pada kemerduan dan kelembutan suaranya dan perhiasan yang boleh menggoda kaum lelaki, bukan pada wanita itu sendiri.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:


“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Aal-Ahzab: 32)


Allah s.w.t tidak melarang mereka secara mutlak untuk bercakap dengan kaum lelaki bahkan membolehkan, selama tidak mendatangkan fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki itu, Allah s.w.t melarang kaum wanita untuk melembutkan suara dan mendedah kecantikan mereka semasa bercakap dengan kaum lelaki supaya mereka tidak tergoda ataupun terggugah keimanannya dan menimbulkan berahinya.


Dengan demikian, pada prinsip suara muka dan tangan wanita bukanlah aurat yang dilarang untuk dilihatkan atau didengarkan. Dahulu para sahabat daripada golongan lelaki dan wanita sering bertanya (berdialog) kepada Rasulullah s.a.w tentang masalah-masalah hukum-hakam dalam agama dan didengar oleh kaum lelaki dan wanita yang hadir daripada sahabat-sahabat Baginda. Bahkan sering pula mereka berdialog dengan para sahabat dan sebaliknya sebagaimana di saat ada seorang wanita yang mengkritik Umar r.a. tentang perkara mas kahwin di dalam pertemuan pada suatu majlis yang diadakan di sebuah masjid, di mana dihadiri pula oleh kaum lelaki, sedangkan Umar tidak melarangnya untuk bersuara padahal beliau terkenal tegas dan kuat memegang syariat agama.


Rasulullah s.a.w pernah didatangi seorang wanita yang menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Rasulullah s.a.w dan membiarkan Rasulullah memerhatikan dirinya dari atas ke bawah, tetapi setelah tidak ada sambutan yang memberangsangkan, maka dia pun terus duduk di situ, lalu berkatalah salah seorang daripada kalangan sahabat: “Kahwinkanlah wanita ini dengan saya.” Maka Rasulullah s.a.w terus mengahwinkan wanita tersebut dengan lelaki yang berminat kepadanya itu. Ini semua bukti melihat kepada muka wanita itu adalah harus dan bukan aurat.


Menurut Al-Qurtubi, suara wanita di saat berkata-kata bukanlah termasuk aurat, lelaki dibolehkan bercakap-cakap atau berdialog dengan wanita kerana ada hajat, demikian juga muka dan tangannya kerana tujuan tertentu tetapi wanita tidak dibolehkan memerdukan, melembutkan atau mengindahkan suaranya ketika bercakap dengan lelaki, kerana perkara demikian boleh menimbulkan berahinya dan juga membuat ia tergoda dan suka. Dengan demikian sangat dianjurkan bagi kaum wanita untuk tidak berdialog dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya dan juga sebaliknya melainkan kerana ada hajat atau sebab-sebab yang munasabah, kerana suara, muka dan tangan seorang wanita sejak semula jadinya memang lembut dan menarik serta dapat menggoda kaum lelaki, apalagi sekiranya dibuat-buat sehingga menjadi lebih lembut dan menggiurkan.


Dalam ketentuan syariah yang lebih berhati-hati (warak), dimakruhkan kepada kaum wanita untuk meninggikan suara dalam membaca al-Quran, demikian pula tidak disyariatkan ‘azan’ kecuali untuk jemaah wanita sahaja, bahkan di dalam syariat fikah, apabila seorang wanita ingin menegur kesilapan yang dilakukan oleh imam di dalam solat berjemaah, maka ia tidak boleh menegur dengan membaca ‘tasbih’ sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki, tetapi cukup dengan menepuk tangannya sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.


Demikian pula wanita tidak disyariatkan untuk membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang dengan bacaan yang nyaring pada sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana yang disyariatkan bagi kaum lelaki sewaktu melakukan sembahyang sendirian. Semua ini menunjukkan bahawa wanita mesti menjaga dan berhati-hati terhadap fitnah yang boleh disebabkan oleh suara dan perhiasan mereka, bukan bermakna suaranya dan perhiasan yang zahir merupakan aurat. Di antara yang menggoda lelaki adalah derai tawa (ketawa) seorang wanita di depan mereka, apalagi jenis ketawa yang memberahikan. Demikian pula senyuman diiringi dengan ketawa kecil yang seksi lagi menggoda, inilah yang sangat dilarang oleh agama kerana untuk menjaga harga diri wanita dan juga mencegah daripada timbulnya fitnah. Sama juga membunyikan perhiasan yang tersembunyi di kakinya.


Jika perkara tersebut dikatakan aurat, kenapa Rasulullah s.a.w sendiri pernah mengizinkan isteri baginda melihat pertunjukan dua orang lelaki Habsyi bermain pedang di pekarangan masjid dan mendengar dua wanita bernyanyi di rumahnya.


Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a, katanya, “Pada suatu hari Rasulullah s.a.w masuk ke tempatku. Ketika itu di sampingku ada dua orang gadis yang sedang mendendangkan nyanyian tentang hari Bu’ats. Kulihat Rasulullah s.a.w berbaring tetapi dengan memalingkan mukanya. Pada saat itulah Abu Bakar masuk dan ia marah kepadaku’. Katanya, ”Di tempat rumah Nabi ada seruling syaitan?” Mendengar seruan itu, Nabi s.a.w menghadapkan muka baginda kepada Abu Bakar dan berkata: “Biarkanlah kedua-duanya, hai Abu Bakar.”


Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah s.a.w mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah s.a.w. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi, daripada Buraidah, menyebut: ”Suatu hari Rasulullah s.a.w pergi untuk menghadapi suatu peperangan. Setelah baginda pulang dari medan perang, datanglah seorang wanita kulit hitam lalu berkata, ”Ya Rasulullah, aku telah bernazar, iaitu kalau tuan dipulangkan Allah dengan selamat, aku akan menabuh rebana dan bernyanyi di hadapan tuan. Mendengar hal itu, Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Jika demikian nazarmu, maka tabuhlah. Tetapi kalau tidak, maka jangan lakukan.”


Kesemua keterangan tersebut menunjukkan bahawa suara wanita dan perhiasan yang zahir daripadanya bukan aurat. Rasulullah s.a.w juga secara praktikal pernah berbicara dengan kaum wanita sepertimana ketika menerima bai’at daripada kaum ibu sebelum dan sesudah hijrah. Bahkan dari segi syarak, baginda tidak pernah menghalang kaum wanita untuk melaksanakan urusan jual beli, menyampaikan ceramah, mengaji al-Quran, membaca qasidah atau syair. Jika suara wanita itu dianggap aurat, sudah tentu dari segi hukum syarak dianggap haram.


Seni bacaan al-Quran adalah termasuk dalam seni Islam yang mempunyai nilai sastera yang tinggi, indah dan juga mempunyai seni bacaannya yang unik. Apakah salah kaum wanita mempelajari dan membacanya kerana selain daripada kandungan kata dan pesan yang ingin disampaikan al-Quran, juga dari segi susunan kata dan kalimatnya yang menyangkut soal nada dan susunannya dapat memukau dan menginsafi sesiapa sahaja yang mendengarnya. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Muzzammil ayat 4 yang bermaksud: ”Bacalah al-Quran dengan sebaik-baik (Tartil)”.


Imam Bukhari dan Abu Daud juga meriwayatkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Perindahkan al-Quran dengan suara kamu.”


Bukankah semua ini menunjukkan bahawa menyanyikan al-Quran tidak dilarang dan kerana itu menyanyi secara umum pun tidak dilarang kecuali nyanyian itu tidak selari dengan tuntutan Islam. Sebagai seni Islam, satu ciri yang dianggap positif ialah ia tidak berkisar di sekitar manusia individu, ia mempunyai orientasi sosial dan terpancarnya keperluan bersama manusia.


Oleh hal yang demikian, kita seharusnya tidak menyempitkan pemikiran kita apabila berbicara mengenai aurat wanita. Keterangan ayat al-Quran dan hadis, ditambah dengan kisah-kisah yang dapat dijadikan teladan pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu seharusnya membuka mata fikir kita untuk tidak terus ‘menzalimi dan menghukumi’ wanita secara sewenang-wenangnya.

HAWA NAFSU

Pernahkah kita memikirkan bahawa nafsu yang ada dalam diri kita boleh menerjahkan diri kita ke arah kebinasaan dan juga kehinaan. Dan pernahkah kita terfikir bahawa nafsu juga boleh mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan dan juga kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Apakah yang dimaksudkan dengan hawa nafsu ini? Jika dicari asal makna ‘hawa’ dalam bahawa Arab, maka ia merujuk kepada pengertian ’suka’ ataupun ‘cinta’. Menurut ahli bahasa, ‘hawa’ ialah kesukaan manusia kepada sesuatu yang dapat menggembirakan serta memenangkan hatinya. Sedangkan ‘nafsu’ ianya merupakan suatu dorongan dalaman yang menjadi fitrah jiwa manusia untuk mencapai pelbagai jenis keinginan dan keseronokan di dalam kehidupannya.

Firman Allah s.w.t, bermaksud :

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini; iaitu kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” (Ali- Imran: 14 )

Menerusi ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa hikmah Allah menciptakan nafsu keinginan dalam diri manusia ialah dengan tujuan untuk mendorong manusia mendapatkan apa juga perkara yang menjadi kemaslahatan dirinya atau kesinambungan zuriatnya. Keadaan nafsu yang menginginkan pelbagai perkara ini bukanlah satu kesalahan. Yang dicela dan salah ialah jika seseorang itu berusaha untuk mendapatkan keinginannya menerusi jalan yang tidak disyariatkan, atau menyebabkannya berpaling daripada mentaati perintah Allah s.w.t.

Imam al-Ghazali rahimahullah pernah berkata:” Sesungguhnya hawa nafsu ialah suatu bentuk keinginan yang tidak terpuji. Adapun keinginan yang terpuji adalah datangnya daripada panduan Allah s.w.t, yakni kekuatan ataupun dorongan yang menyebabkan manusia mahu menggerakkan dirinya untuk mendapat sesuatu perkara yang bermanfaat, sama ada untuk dirinya, keturunannya ataupun kedua-duanya sekali.”

Rasulullah s.a.w menerusi hadisnya telah mengkategorikan kehendak hawa nafsu yang buruk ini kepada salah satu daripada tiga perkara yang membinasakan seseorang :

“Ada Tiga perkara yang membinasakan, iaitu bakhil yang dituruti, hawa nafsu yang dituruti, dan kekaguman seseorang kepada dirinya. Dan ada tiga perkara pula yang membebaskan: takut kepada Allah dalam keadaan bersunyi-sunyi atau terang-terangan, berniat untuk menjadi fakir dan kaya, dan kalimat yang benar bagi orang yang marah atau suka.” (Riwayat Baihaqi)

Menerusi hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga sifat mazmumah (tercela) yang mesti kita singkirkan dalam diri kita dan terdapat tiga pula sifat mahmudah (terpuji) yang mesti menjadi pakaian dan juga amalan dalam kehidupan kita. Ketiga-tiga sifat mazmumah yang tercela itu ialah sifat bakhil yang melampaui batas, terlalu menuruti tuntutan hawa nafsu sehingga menjadikan nafsu sebagai Tuhan dalam segala tindak tanduk kita, dan terlalu kagum (‘ujub) dengan kehebatan dan juga pangkat darejat yang ada pada diri kita sehingga sampai ke tahap bongkak dan takabbur seperti Iblis.

Di samping itu, Rasulullah s.a.w di dalam hadis di atas telah memberi panduan kepada kita agar menghiasi diri kita dengan tiga sifat terpuji seperti berikut: iaitu takut untuk melakukan kemungkaran dan taat melaksanakan perintah Allah sama ada di hadapan manusia ataupun ketika bersendirian, bersifat ‘qana’ah ataupun berpada dengan apa sahaja pemberian Allah dan berazam untuk menjadi senang dan kaya demi untuk berbakti kepada agama Allah, dan seterusnya menyampaikan nasihat serta pandangan yang baik dan benar samada pihak yang menerimanya suka ataupun tidak suka dengan nasihat yang diberi. Inilah tiga prinsip yang boleh menyelamatkan diri kita daripada keburukan hawa nafsu di dunia ini.

Khalifah yang terkenal adil, Umar bin Abdul Aziz berkata: “Janganlah menjadi pengikut kebenaran hanya apabila sesuai dengan selera hawa nafsumu dan menentang kebenaran jika ia tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsumu, kerana engkau tidak akan mendapat pahala dari melakukan kebenaran dengan cara seperti itu; sedangkan engkau tetap diseksa (berdosa) dengan menentangnya kerana kedua-duanya dianggap sebagai amal yang mengikut kehendak hawa nafsu.”

Justeru, untuk mengelakkan hawa nafsu kita daripada bersekongkol dengan Iblis dan Syaitan ke arah menjerumuskan diri kita ke lembah kebinasaan dan keburukan, maka kita perlu menerima tunjuk ajar dan juga nasihat oleh diri kita sendiri menerusi ‘HATI” dan “TELINGA” yang Allah anugerahkan kepada setiap insan di dunia ini. Hati inilah yang sepatutnya menjadi raja dan juga Penasihat kepada diri kita dan TELINGA untuk menyaring segala maklumat yang kita terima bagi menangkis segala bisikan jahat hawa nafsu dan memberi pedoman kepada kita untuk menuruti akal dan keimanan kita berpandukan kepada wahyu Ilahi. Firman Allah s.w.t, bermaksud :

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai HATI yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai TELINGA yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (al-Haj: 46)

Berpandukan kepada ayat di atas maka marilah sama-sama kita beristiqamah dan berazam untuk menjadi hamba-hamba Allah yang memiliki hati yang tidak buta terhadap taufiq dan hidayah Allah s.w.t, agar hawa nafsu kita tidak menjerumuskan diri dan keluarga kita ke arah kebinasaan.

Saturday, November 21, 2009

Pada suatu malam.

Pada suatu malam di Rumah Amalia. Terdengar suara anak-anak yang sedang membaca al-Quran. Beberapa hari ini malam turun hujan. Ada beberapa anak Amalia yang sedang sakit. Sekalipun begitu anak-anak Amalia masih tetap bersemangat untuk belajar. Saya mengatakan kepada anak-anak nanti Kak Agus mau bercerita. 'Asyik..' Teriak Fadel. 'Pasti ceritanya seru nih..'kata Adi. 'Tapi nggak boleh berisik ya..' kata Lola dengan mata melotot. Wajah mereka seolah sudah tak sabar menanti. Tak Lama kemudian setelah semua sudah membaca al-Quran saya bercerita kisah yang terjadi pada masa Nabi Sulaiman.

Di Masa Nabi Sulaiman Alaihissalam ada bayi yang diperebutkan oleh dua ibu. Keduanya mengaku sebagai ibu dari bayi itu, tidak ada yang mau mengalah dan mengakui siapa sebenarnya ibu sang bayi, karena sama-sama bersikukuh sebagai ibu maka persoalan itu dibawalah kepada Nabi Sulaiman. 'Lantas apa yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman Kak?' tanya Desi. 'Nah, yang terjadi selanjutnya Nabi Sulaiman memerintahkan kedua ibu sang bayi maju kedepan dan bertanya, siapakah ibu dari sang bayi ini? tanya Nabi Sulaiman. Keduanya menangkat tangan. karena keduanya tetap ngotot mengaku sebagai ibu sang bayi, Nabi Sulaiman berpura-pura akan membelah bayi itu agar terbagi dua.

'Wah..kasihan dong Kak, bayinya kan tidak berdosa?' teriak Egi.

'Kan Nabi Sulaiman nggak beneran belahnya..'jawab Irji.

Kalian tahu apa yang terjadi?' tanya saya. 'Tidak kak!' Jawab anak-anak Amalia serentak.

Tiba-tiba salah satu ibu yang berbadan kurus menyetujui usulan itu. Sementara ibu yang berbadan gemuk menolak usulan itu dan merelakan sang bayi itu karena tidak tega bila bayinya dibelah. Dengan berlinangan air mata ibu itu memohon kepada Nabi Sulaiman agar bayinya tidak dibelah dan dia rela menyerahkan bayi itu kepada ibu yang kurus. Akhirnya Nabi Sulaiman mengerti bahwa ibu sang bayi adalah ibu yang berbadan gemuk maka beliaulah yang berhak menjadi ibu yang sebenarnya sementara ibu yang berbadan kurus mendapatkan hukuman karena telah melakukan kesalahan akibat perbuatannya sendiri.

Diakhir cerita, saya menjelaskan kepada anak-anak Amalia bahwa kita bisa belajar menjadi orang yang memiliki sifat kasih sayang seperti ibu tadi karena sifat kasih sayangnya, ia tidak tega melihat bayinya disakiti. Ibu itu memilih untuk mengalah dan berkorban demi keselamatan bayinya. Sifat mulianya ibu dan kasih sayangnya kepada anaknya adalah cerminan dari sifat kasih sayang Alloh SWT kepada hamba-hambaNya yang beriman. Itulah sifat Alloh SWT yang disebut dengan Ar-Rahim atau Maha Pengasih.

---
Sesungguhnya Alloh Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang (QS. Annisa (4): 16).

'Ya Tuhanku. Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan sholat.'

'Bagaimana kita mensyukuri atas nikmat dan karuniaNya?' 'Apa yang harus kita kerjakan?' 'Bukankah sholat merupakan sebagai tanda syukur kita kepada Sang Khaliq atas semua limpahan nikmat yang kita terima sebagai hamba?' Begitulah kira-kira yang dilontarkan oleh seorang bapak dengan raut muka yang bersahaja. Sore itu beliau sudah berjanji ingin bersilaturahmi ke Rumah Amalia. Kunjungannya yang tidak begitu lama namun banyak mutiara-mutiara hikmah yang saya dapatkan dari beliau yaitu tentang tanda syukur. Sebagai seorang insan yang begitu besar dikarunia limpahan nikmat beliau sering melakukan perjalanan untuk kegiatan usahanya namun disisi lain kegiatan ibadah terlupakan. Setiap kali berkuamndang adzan staf dan karyawannya menunaikan sholat, malah dirinya sebagai atasan tidak pernah mengerjakan sholat.

'Bapak sudah sholat?'tanya salahsatu stafnya ketika semua stafnya hendak menunaikan sholat. Saya memang tengah berjalan lambat laun untuk menghindar, dengan rikuh segera saya menjawab bahwa saya sudah sholat, tuturnya. Begitulah setiap saat jawabannya. Saya sebenarnya tapi apa boleh buat, saya tidak mungkin mengatakan kepada staf dan karyawan saya jika saya tidak bisa sholat? ucap beliau lirih. Sambil menunggu orang-orang sedang sholat, saya duduk terdiam sendirian. Tak berapa lama saya tersentak kaget. Saya merasa pipi saya ada yang menampar dengan keras, belum habis keheranan saya, ketika terdengar suara, 'Begitu besar karunia yang diberikanNya kepadamu, kenapa kamu tidak pernah bersyukur?' bisik suara itu yang terdengar keras ditelinganya. Saya mencari sumber suara itu, suara siapakah gerangan? Saya juga tidak tahu, tuturnya.

Tak ada orang disekitar saya dan memang kehadiran suara itu tidak begitu menjadi pikiran, yang ada justru saya merasa terbangun dari sebuah mimpi buruk yang berkepanjangan. Saya meratapi diri, saya malu terhadap diri sendiri sebagai seorang pimpinan sebuah perusahaan setiap kali mengucapkan salam, doa untuk keselamatan bagi setiap orang yang saya jumpai. 'Ya Alloh..' desisnya pelan menengadahkan kepala dengan mata berkaca-kaca. 'Apa artinya segala yang telah saya lakukan selama ini?' Padahal Engkau telah melimpahkan rahmat yang begitu besar pada hambaMu ini, memberi materi, anak-anak yang sehat, istri yang setia, Engkau pula yang telah memberikan usia yang panjang. Tapi pernahkah hambaMu ini ingat akan bekal untuk menghadapMu?' ucapnya.

Kejadian demi kejadia tergambar begitu nyata dimatanya. Sampai tak sadar bahwa orang-orang dikantornya telah selesai sholat. Buru-buru saya mengusap air mata dan bergabung kembali dengan mereka. Hari itu juga dengan niat sungguh-sungguh saya harus membangun tiang agama sebagai tanda syukur atas semua nikmat dan karuniaNya.

'Saya merasa malu terhadap diri sendiri dan terhadap orang lain, dalam seusia saya setengah abad ini, saya baru sadar dan mau belajar sholat. a[akah tidak terlambat mas agus? tanyanya.

'Tidak Pak..Tidak ada kata terlambat dalam berbuat kebaikan,' jawab saya kepada beliau. Sore itu menjadi teramat indah. Di Rumah Amalia bunga-bunga dihalaman nampak bermekaran, burung-burung beterbangan seolah bersenandung memanjatkan kebesaranNya. Hidayah telah membukakan pintu hatinya, kehidupan menyambutnya penuh sukacita. Kalaulah batin manusia yang dahaga, telah beberapa tahun kering kerontang tak pernah mendapatkan setetes airpun lalu mendapatkan segelas air segar. Beliau menemukan kesejukan dan kesegaran menjalankan ibadah sebagai tanda syukur terhadap semua nikmat dan karuniaNya.

----
'Ya Tuhanku. Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan sholat.' (QS. Ibrahim: 40).